OGOS 2023

Belawai, Tg Manis Bakal Dimaju Sebagai Destinasi Pelancongan


TANJUNG MANIS: Hotel bertaraf tiga bintang akan dibina di Belawai manakala padang golf akan dibangunkan di Tanjung Manis sebagai usaha menaik taraf Tanjung manis sebagai destinasi pelancongan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, prasarana itu akan dilaksanakan dalam Rancangan Kajian Malaysia (RMK-12) seiring kewujudan prasarana yang lain.

“Projek jangka panjang itu bukan sahaja merancakkan pertumbuhan ekonomi Tanjung Manis tetapi memberi manfaat kepada masyarakat di samping memudahkan pelabur dari dalam dan luar negara,” katanya pada Majlis Penutupan Safari Memancing Tanjung Manis, di sini.

Abang Johari memaklumkan pelaksanaan projek Jalan Pasi-Tanjung Manis dan Jambatan Batang Rajang dijadual siap pada September tahun depan.

Katanya, projek yang menghubungkan Tanjung Manis melalui Sarikei ke Sibu itu apabila siap kelak akan memendekan masa orang ramai yang menggunakan laluan dari Sibu ke ke Tanjung Manis sekitar sejam sahaja.

“Perjalanan dari Sibu ke Kuching akan dipendekkan dengan pembangunan rangkaian jalan pantai dan setelah siap Jambatan Batang Lupar, anggaran masa perjalanan antara lokasi ini mengambil masa kira-kira dua setengah jam,” katanya.

Terdahulu, Premier Sarawak bersama-sama Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh meninjau perkembangan projek penanaman tukun tirauan di pesisir pantai Belawai.

Sumber dari : Jiwa Bakti